JIHAD PALING AFDHAL


USTAZ SYED MOHD NORHISYAM BIN TUAN PADANG

      Hairan. Apabila di dalam ceramahnya, seseorang pendakwah menegur dan menasihati seorang suami atau isteri yang melanggar syariat Allah, masyarakat boleh menerima dengan positif. Demikian juga apabila disentuh isu berkait ibu atau bapa, masyarakat boleh menerima teguran tersebut. Begitu juga tentang peniaga, jiran, anak dan pelbagai watak lagi, kebanyakannya dapat diterima dengan hati yang terbuka, walaupun ada sebahagiannya hanya masuk ke telinga kanan dan terus keluar melalui telinga kiri. 

             Perkara yang menghairankan ialah apabila disentuh tentang pemimpin yang melanggar syariat, pendakwah terus dipandang negatif oleh sebahagian masyarakat kita. Pendakwah dituduh melakukan “dosa besar”, iaitu bercakap tentang politik di dalam syarahannya. Bahkan lebih malang lagi, pendakwah tersebut dituduh sebagai penentang kerajaan. Kenapa situasi ini berlaku ? Adakah “aqidah” peninggalan penjajah yang menyatakan bahawa tiada kaitan antara agama dan urusan politik masih menjadi pegangan sebahagian masyarakat kita ? Agama hanya dipenjarakan di dalam urusan spiritual di masjid dan beberapa amalan seperti kematian, perkahwinan dan ibadat-ibadat khusus sahaja ? Sedangkan Rasulullah s.a.w pernah menjadi ketua negara sekitar sepuluh tahun di Madinah, menyusun ekonomi negara, berperang, gencatan senjata, membuat MoU dengan negara lain dan pelbagai peranan politik yang semestinya menjadi panduan para pemimpin dan ahli politik. Baginda telah bersabda dalam sepotong hadis yang bermaksud “ Jihad yang paling afdhal ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim”. ( Tarmizi,no 2174, Abu Daud,no 4344 dan Al-Nasa’i,no 7834 ). Menurut Sheikh Nasiruddin al-Baani, hadis ini mencapai darjat hadis yang sohih. Pengarang kitab Tuhfah al-Ahwazi Syarh  Sunan al-Tarmizi dan kitab ‘Aun al-Ma’buud Syarh Sunan Abi Daud, telah menaqalkan pandangan yang sangat menarik daripada Imam al-Khattabi dalam mensyarahkan hadis ini. Beliau berkata “ Berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim menjadi jihad yang paling afdhal adalah kerana apabila seseorang sedang berjihad di medan perang, ia berada dalam dua kemungkinan iaitu menang ataupun kalah. Adapun ketika berhadapan dengan pemerintah yang zalim, pastinya seseorang yang berkata benar itu tidak akan menang (secara fizikal dan penilaian duniawi) kerana pemerintah itu sedang berkuasa penuh.” Imam al-Sindi, di dalam Syarh Sunan al-Nasa’i pula menegaskan bahawa ia adalah jihad yang amat sedikit seseorang mujahid terselamat ataupun berjaya memperbetulkan pemerintah yang zalim, bahkan mereka yang dipersalahkan dan kemudiannya membawa kepada kematian dengan cara yang sangat mengerikan tanpa meletusnya peperangan.

PENGHULU PARA SYUHADA’

           Di dalam kitab Al-Mustadrak, Imam al-Hakim meriwayatkan sepotong hadis daripada Jabir r.a, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud “ Penghulu orang-orang yang mati syahid ialah Hamzah bin Abdul Muttalib dan juga seorang pemuda yang bangkit menegur dan menasihati pemerintah yang zalim, sehingga ia dibunuh oleh pemerintah tersebut”.(Hadis no 4884). Dalam realiti dakwah masakini di seluruh dunia, ada pendakwah yang memilih jihad yang paling afdhal dalam pendekatannya dan ada juga yang memilih dengan penuh ikhlas untuk terus berjihad, walaupun bukan dalam bentuk yang paling afdhal, tetapi demi maslahah-maslahah yang juga pada hakikatnya memberi manfaat kepada dakwah. Walaupun kedua-dua golongan ini menggunakan pendekatan yang berbeza, hati-hati mereka tetap bertaut dengan keikhlasan untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Masing-masing saling mengisi kekosongan yang tidak mampu diisi oleh saudara seperjuangannya dengan penuh ikhlas kerana Allah dan husnu dzon. Walaubagaimanapun, apabila wujudnya golongan yang hanya mendakwa berjihad dengan lidahnya yang tidak bertulang sedangkan hatinya dihinggapi virus hasad, mengharap pujian manusia dan gilakan habuan duniawi, maka akan tercetuslah ‘peperangan’ sesama sendiri yang amat menggembirakan musuh yang begitu riang bertepuk tangan sambil mencurahkan lagi minyak ke dalam api yang sedang menyala. Ketika berlaku pertembungan, sebenarnya Allah sedang menapis hamba-hambaNya yang ikhlas dan berakhlak serta menzahirkan true colours golongan yang mencari selain Allah di dalam ‘perjuangannya’.

AGAMA ADALAH NASIHAT

Tulisan ini bukan bertujuan menafikan kelebihan jihad di medan perang atau jihad-jihad dalam bentuk yang lain, tetapi untuk menjelaskan bahawa menegur pemerintah yang zalim adalah amalan yang dituntut oleh Islam, demi kepentingan agama, masa depan generasi akan datang dan tanah air sendiri. Ia juga dilakukan di atas dasar sayangkan mereka, lalu tidak dibiarkan berterusan menempah azab Allah di akhirat kelak dengan kezaliman yang dilakukan. Di dalam sepotong hadis yang lain, baginda bersabda yang bermaksud “Agama adalah nasihat”. Para sahabat bertanya “Kepada siapa?”. Rasulullah s.a.w menjawab “Kepada Allah, kitabNya, rasulNya, para pemimpin dan kepada umat Islam keseluruhannya”. Di dalam syarahnya, Imam Nawawi menerangkan bahawa amalan memberi nasihat berdasarkan agama adalah merupakan tunjang yang sangat penting dalam Islam. Nasihat kepada Allah, kitabNya dan rasulNya membawa pengertian mengajak manusia agar beriman kepada ketiga-tiga pedoman ini. Manakala nasihat kepada para pemimpin ialah membantu dan mentaati mereka dalam perkara kebenaran dan menegurnya apabila melakukan kemungkaran. Semua ini dilakukan demi mencari keredhaan Allah s.w.t. dan bakal menjadi pencen akhirat seseorang, insya Allah.



JANGAN MARAH !


Syed Mohd Norhisyam bin Tuan Padang Al-Idrus

                Apakah perasaan anda apabila dimarahi? Sekiranya dimarahi oleh rakan sekelas pengajian atau teman sepejabat, apa tindakan anda? Apa pula yang tersemat di lubuk hati sekiranya dimarahi seseorang yang tidak mampu dilawan seperti majikan atau suami ? Sudah pasti ada sesuatu sedang bergelora deep in your heart. Ketika anda pula yang marah dan ketika itu anak-anak menjadi mangsa, atau para pekerja, isteri , dan sebagainya, apa sebenarnya di lubuk hati anda ketika itu?

                Imam Bukhari meriwayatkan, Abu Hurairah menceritakan bahawa seorang lelaki datang meminta nasihat daripada Rasulullah s.a.w, baginda menjawab “ Jangan marah”. Lelaki tersebut mengulangi soalannya. Rasulullah s.a.w menjawab “Jangan marah”. Soalan diulang lagi beberapa kali, lantas baginda mengulang juga jawapan yang sama. (no 6116). Di dalam riwayat Imam Tarmizi, lelaki itu berkata “Wahai Rasulullah, berilah nasihat kepadaku dan janganlah terlalu banyak, moga aku senang memahaminya”.(no 1943)Lantas baginda menjawab “Jangan marah”.

                Menurut Sheikh Sa’id Hawwa di dalam kitab al-Mustakhlas fi Tazkiyyati al-Anfus, tiada manusia boleh terlepas daripada marah, Rasulullah s.a.w. sendiri  juga pernah marah, bahkan Allah juga turut murka dalam situasi tertentu. Oleh itu, kita mesti memahami bahawa ada marah yang diizinkan oleh Islam dan ada marah yang dilarang. Marah semata-mata kerana nafsu yang mendorong kepada tindakan-tindakan yang dilarang oleh syara’ seperti memaki hamun, mencederakan, membunuh, khianat dan sebagainya adalah marah yang dicela oleh agama. Ia sudah pasti membawa kesan buruk yang berpanjangan. Adapun perasaan marah yang timbul apabila melihat agama diperlekeh, aqidah dipermainkan, syariat diejek serta ajaran-ajaran Rasulullah s.a.w dihina, maka marah itu adalah tanda kekuatan iman dan sangat dipuji dalam agama.

MARAH ADALAH PINTU MASUK SYAITAN

Ketika membicarakan berkenaan pintu-pintu yang digunakan oleh syaitan untuk masuk dan menguasai hati manusia, Imam Ghazali menyenaraikan marah adalah pintu yang pertama. Apabila diteliti kes-kes seperti  memukul isteri atau anak dengan cara yang melampau, perceraian ataupun meminta cerai, khianat, sabotaj, sihir dan banyak lagi perbuatan negatif memperlihatkan seolah-olah mereka telah lupa akan kewujudan dosa pahala.  Realitinya semua ini berlaku apabila seseorang itu berada dalam keadaan marah dan tidak mampu mengawalnya. 

Tindakan-tindakan yang lahir daripada keadaan marah yang tidak terkawal meninggalkan kesan yang sangat besar dalam kehidupan seseorang. Lihatlah orang yang memang dikenali selalu marah, adakah dia disenangi oleh kawan-kawannya? Bahkan mungkin tidak ramai yang ingin berkawan dengannya. Majikan yang selalu memarahi pekerjanya mungkin ditaati secara luaran sahaja, tetapi kebencian tersemat dilubuk hati para pekerja sebagaimana rakyat Mesir yang taat kepada pemimpinnya yang zalim, tetapi di dalam masa yang sama tertanam kebencian yang mendalam terhadap Firaun. Anak-anak mungkin terdiam atau menangis apabila sering dimarahi,namun dalam masa yang sama perasaan kecewa dan dendam terhadap ibubapa mula berputik. Dan pelbagai situasi lagi yang dialami oleh manusia menunjukkan bahawa betapa relevannya nasihat Rasulullah s.a.w yang diulang berkali-kali iaitu “Jangan marah”.

BAGAIMANA MENJADI ORANG YANG GAGAH  ?

                Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam sepotong hadis riwayat Bukhari (6114) dan Muslim(2609) yang bermaksud “Tidaklah seseorang itu dikira kuat dan gagah apabila ia menang bergusti, tetapi seseorang dianggap benar-benar kuat dan gagah apabila ia mampu mengawal dirinya ketika marah”. Justeru, kita perlulah berusaha untuk menjadi kuat dengan melawan dan mengawal perasaan marah apabila ianya menjelma.

Sheikh Ibnu `Uthaimin menyebut di dalam Syarah Riyadussolihin dengan membuat kesimpulan daripada beberapa hadis yang berkait dengan marah di mana beliau menyatakan bahawa apabila seseorang itu marah, maka ia hendaklah menyebut (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم  ) dan kemudiannya segera berwudhu’ . Sekiranya sedang berdiri, maka dia hendaklah duduk dan sekiranya sedang duduk, dia hendaklah berbaring. Sekiranya dibimbangi masih tidak dapat mengawalnya, maka dia perlu beredar dari tempat atau orang yang dimarahinya itu. Di dalam kitab Fathu al-Baari pula Al-Hafiz Ibnu Hajar menukilkan pandangan  Imam al-Tuufi yang menyatakan bahawa cara paling berkesan untuk mengawal perasaan marah ialah dengan menghadirkan tauhid yang hakiki di dalam hati bahawa setiap perkara yang berlaku adalah ketentuan Allah dan setiap orang yang melakukan sesuatu adalah pelaksana terhadap ketentuan tersebut.

KESAN PAKU PADA DINDING BATU

Said adalah seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun hanya dengan satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, ibunya telah menghadiahkan Said sebungkus paku. 

"Untuk apakah paku-paku ini ibu?" tanya Said.
"Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahanmu" jawab ibunya.

 Pada hari yang pertama sahaja, Said telah memaku sebanyak 29 batang paku pada tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya berbanding memukul paku menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari, di mana Said langsung tidak marah, walaupun sekali.

               Dia terus memberitahu ibunya mengenai perkara tersebut dengan gembira. Lalu ibunya mengucapkan tahniah dan menyuruh Said mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang dilaluinya tanpa kemarahan. Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku tersebut. Said lantas memberitahu perkara tersebut kepada ibunya dengan penuh bangga.

              Ibunya lantas memimpin tangan Said ke tembok tersebut dan berkata “Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya. Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ia akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Tetapi ingatlah, walau berapa kali pun kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatammu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih daripada luka fizikal”.

HUKUM HAKAM BERKAIT ANAK ANGKAT

Syed Mohd Norhisyam bin Tuan Padang

Amalan mengambil anak angkat telah dilakukan sejak sebelum kedatangan Islam. Pelbagai faktor menyebabkan manusia mengambil dan memelihara anak angkat. Sebelum kedatangan Islam, anak angkat dianggap seperti anak sendiri tanpa sebarang peraturan atau displin yang menjadi garis panduan dalam perkara ini. Kehadiran Islam tidak pernah menghalang amalan ini, tetapi telah membawa satu sistem yang sempurna bagi menjamin hak kedua-dua belah pihak dan juga menggariskan batas-batas pergaulan serta mengandungi unsur-unsur spiritual yang utuh.

Oleh kerana anak angkat pada asalnya adalah seorang yang asing kepada keluarga angkatnya, maka sudah pasti apabila ia dewasa, akan timbul persoalan berkenaan aurat, bersama-sama keluarga angkat di dalam rumah, bersalaman dan sebagainya. Ketika itu hukumnya adalah seperti orang-orang asing yang lain iaitu haram mendedahkan aurat, bersentuhan dan bersunyian di rumah. Bagaimanakah situasi ini dapat diharungi sedangkan perasaan kasih sayang sebagai anggota keluarga telah lama berputik. Setelah hidup dalam sebuah rumah selama bertahun-tahun, terlalu sukar bagi seorang gadis apabila terpaksa menutup aurat di dalam rumah sendiri di kala kehadiran “ayah”nya.

Maka Rasulullah s.a.w telah mengemukakan satu solusi, iaitu amalan penyusuan. Baginda bersabda “Sesuatu yang haram disebabkan nasab, juga menjadi haram disebabkan penyusuan”.(Muslim,no 2616). Ketika mensyarahkan hadis ini, Imam Nawawi berkata “ Hukum anak yang menyusu telah menjadi seperti anak kepada yang menyusukannya dan haram mereka berkahwin selama-lamanya. Halal pula bagi si anak melihat ibu susuannya, bersamanya di rumah dan bermusafir dengannya, seperti bersama ibunya sendiri.” Setelah sempurna penyusuan, hukum anak angkat menjadi seperti anak kepada ibu yang menyusukannya.

Bagi memudahkan perbincangan, penulis cuba mengemukakan contoh. Pasangan Ahmad dan Ros telah mengambil anak angkat bernama Ali. Setelah penyusuan sempurna, Ali diharamkan berkahwin dengan (1)Ros, (2) anak-anak perempuan Ros,(3) ibu dan kakak atau adik perempuan Ros dan juga (4) anak-anak perempuan Ahmad serta (5)ibu dan kakak atau adik perempuan Ahmad. Ketika ini, anak-anak Ros atau Ahmad telah menjadi adik beradik susuan Ali, manakala adik beradik Ros dan Ahmad telah menjadi bapa dan ibu saudara susuan kepada Ali. Hukum berkait aurat, bersentuhan, bermusafir dan sebagainya adalah seperti anak atau adik beradik biasa. 

Imam Bukhari ( no 5103) dan Muslim (no 1445) meriwayatkan satu peristiwa yang berlaku kepada Aishah r.a, katanya “Aflah, saudara lelaki kepada Abu Qu’ais telah meminta izin untuk masuk ke rumahku lalu aku tidak mengizinkannya sehingga aku bertanya Rasulullah s.a.w kerana yang menyusukan daku adalah isteri kepada Abu Qu’ais, bukannya Aflah. Baginda menjawab “Izinkan Aflah masuk, sesungguhnya ia adalah bapa saudaramu wahai Aishah.”


PENYUSUAN YANG SEMPURNA

Terdapat 2 syarat utama yang menyebabkan penyusuan dianggap sempurna dan menjadikan hukum anak angkat seperti anak sendiri :

1)      Penyusuan berlaku sebelum bayi berumur 2 tahun. Ia berdasarkan hadis mauquf kepada Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Darul Qutni “Tidak dikira penyusuan melainkan sebelum bayi berumur 2 tahun.” Ibnu ‘Aamir al-San’aani berkata di dalam kitabnya Subul al-Salam bahawa penyusuan tidak dianggap sempurna kecuali dalam tempoh 2 tahun pertama bayi tersebut.
2)      Bayi mestilah menyusu paling kurang sebanyak 5 kali kenyang. Ini berdasarkan hadis mauquf kepada Aishah r.a yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ( no 1452 ) katanya,“Pada peringkat awal penurunan al-Quran, penyusuan yang sempurna adalah 10 kali yang mengenyangkan kemudian ia dinasakhkan (dibatalkan) hukumnya kepada 5 kali kenyang, sehinggalah Rasulullah s.a.w diwafatkan.” Di dalam kitab Subul al-Salam juga diterangkan bahawa penyusuan yang mengenyangkan dikira apabila bayi mula menyusu dan berhenti dengan sendiri apabila ia kenyang. Sekiranya terhenti disebabkan bersin, terbatuk atau sendawa, kemudian menyambung penyusuannya, ia masih dikira sekali.

IBU ANGKAT TIDAK MEMPUNYAI SUSU

                Ramai yang mengambil anak angkat disebabkan tidak mempunyai zuriat setelah lama berkahwin. Oleh kerana mereka tidak mengandung, maka tidak mempunyai susu untuk dilakukan penyusuan kepada anak angkatnya. Kepada mereka ini, ada 3 nasihat penting, moga-moga dimanfaatkan.

1)      Fahamilah bahawa ini adalah salah satu bentuk ujian Allah kepada anda. Ada pasangan yang diuji memiliki zuriat, tetapi mengidap penyakit yang kronik. Ada pula yang diuji dalam bentuk anaknya yang sihat, tetapi menagih dadah apabila dewasa. Ada juga diuji dengan anak yang membesar dengan sihat dan berjaya, tetapi derhaka kepada orang tuanya. Sesungguhnya kehidupan ini adalah medan ujian Allah terhadap hambaNya dalam musafir menuju akhirat yang kekal. Teruskan usaha dan jangan lupa berdoa kepadaNya.
2)      Ibu angkat diharuskan memakan ubat yang mengeluarkan hormon bagi menghasilkan susu dengan syarat mendapat nasihat daripada doktor muslim yang pakar dan amanah.
3)      (Sila rujuk kepada contoh nama di atas). Ali disusukan oleh kakak atau adik perempuan Ros supaya Ali menjadi anak saudara susuan Ros. Atau sekiranya anak angkat itu perempuan, maka ia disusukan oleh kakak atau adik perempuan Ahmad, supaya ia menjadi anak saudara susuan Ahmad.